Home » Bisnes » 3 Asas Untuk Pengurusan Masa 4X Lebih Baik Dalam 30 Hari
apple watch pengurusan masa

3 Asas Untuk Pengurusan Masa 4X Lebih Baik Dalam 30 Hari

7 daripada 10 orang akan menghadapi masalah pengurusan masa sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Masalah dalam pengurusan masa merupakan faktor utama yang menjurus kepada masalah produktiviti yang menjadi pintu masuk kepada banyak sisi negatif dalam kehidupan seseorang.

Paling teruk, orang yang gagal menguruskan masa mudah stress, menghadapi tekanan, ditimpa penyakit sehingga kepada gagal capai matlamat dan objektif yang anda tetapkan.

Cara untuk hadapi masalah ini bermula apabila anda tahu kepentingan pengurusan masa dan cara menjadi produktif. 

Selepas anda selesai baca artikel tentang pengurusan masa ini, anda perlu praktik teknik dan strategi yang dikongsikan secepat mungkin.

Pastikan anda baca artikel ini sampai habis dan bersedia untuk menjadi produktif sehingga 4X dalam masa 30 hari! 

 

Apa Itu Pengurusan Masa?

pengurusan masa

Pengurusan masa adalah apabila anda mampu menyusun setiap minit dalam hidup anda setiap hari tanpa gagal, dengan buat aktiviti yang produktif dan mendatangkan hasil kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Pengurusan masa yang baik secara relatif mendatangkan kepuasan dan manfaat kepada diri dan menyebabkan hidup anda menjadi lebih sihat.

“Secara praktikal, semua orang di dunia ini diberikan hak yang sama iaitu 24 jam dalam satu hari, tiada orang yang dapat hatta 1 saat lebih atau kurang!”

Isunya adalah, kenapa ada orang yang mampu menjadi produktif dan capai kejayaan dalam hidup mereka?

Jawapannya adalah, mereka bangkit, buat dan kejar matlamat hidup mereka. Itu perbezaan di antara orang yang produktif dan orang yang tidak produktif.  

Ada banyak tips, teknik dan strategi untuk pengurusan masa yang lebih produktif daripada perancangan, pengunaan alat, software yang berkaitan dengan produktiviti.

Anda boleh gunakan semua tips, teknik dan strategi itu tetapi, anda perlu belajar dahulu kenapa orang gagal urus masa mereka. 

 

Kenapa Orang Gagal Urus Masa?

pengurusan masa

Untuk info, ada tiga sebab kenapa ramai orang gagal uruskan masa mereka sungguhpun mereka sedar akan masalah yang mereka hadapi.

Kenal pasti jika anda hadapi salah satu atau ketiga-tiga punca di bawah. 

 

1. Terlalu Banyak Gangguan

Orang yang gagal menguruskan masa lazimnya menghadapi banyak gangguan dalam kehidupan seharian mereka.

Terdapat dua jenis gangguan iaitu gangguan dalaman dan gangguan luaran. Kedua-dua jenis gangguan ini tidak bagus untuk pengurusan masa dan produktiviti hidup seseorang. 

Gangguan dalaman adalah apabila seorang individu itu menghadapi masalah peribadi yang melibatkan emosi yang kesannya menganggu daya fokus seseorang dalam rutin harian.

Antara contoh gangguan dalaman adalah masalah hubungan rumah tangga, tekanan ekonomi, kesedihan melampau dan kesukaran untuk fokus dalam satu pekerjaan untuk tempoh masa yang lama. 

Manakala gangguan luaran adalah apabila seorang individu itu menghadapi masalah untuk fokus dan mengurus masa kerana ketagihan sosial media, berbual kosong, menonton drama atau filem yang tidak berfaedah, bersukan terlalu lama dan berinteraksi dengan orang lain. 

 

2. Tak Tetapkan Matlamat & Objektif

Orang yang fokus dan komited untuk capai sebuah objektif, lazimnya akan menetapkan matlamat (milestones).

Mereka tahu bila waktu yang tepat untuk bekerja keras, waktu yang tepat untuk bermain dan waktu yang tepat untuk berehat. 

Tanpa matlamat & objektif, seorang individu itu cenderung untuk terlalu berfikir (overthinking), kesukaran untuk merungkai masalah dan akhirnya berdepan cabaran untuk mengurus masa mereka supaya masa yang mereka ada setiap hari, digunakan untuk buat perkara yang lebih produktif. 

 

3. Motivasi Tidak Cukup Kuat

Salah satu punca terbesar majoriti ramai orang hilang fokus dan gagal urus masa mereka adalah kerana, motivasi hidup mereka tidak cukup kuat untuk mereka bangun dan kejar matlamat dan objektif hidup mereka. 

Disebabkan itu, adalah penting untuk setiap orang mempunyai motivasi yang kuat dan konkrit sebelum menetapkan sebarang matlamat dan objektif yang ingin mereka capai.

Hal ini kerana, manusia itu disiplinnya ada turun dan naik.

Dengan motivasi yang betul dan cukup kuat, seseorang itu akan lebih fokus, berdisiplin dan komited dalam mengurus masa demi mencapai matlamat dan objektif mereka. 

Apa yang merisaukan adalah, solopreneur dan usahawan juga tidak lari dari menghadapi masalah motivasi dalam mendirikan perniagaaan.

Baca : 9 Dari 10 Usahawan Berjaya Ada Semua Ciri-Ciri Ini

 

4 Kepentingan Pengurusan Masa

kalendar masa untuk mengurus masa

Setiap orang ada matlamat dan objektif yang mereka ingin capai termasuk anda yang sedang membaca artikel ini.

Tak kira apapun matlamat dan objektif anda, sukar untuk anda capainya melainkan anda faham kenapa pengurusan masa itu sangat penting. 

 

1. Hilangkan Stress Kerja/Belajar

Individu yang mampu menguruskan masa, lazimnya bijak menyusun atur gerak kerja sehariannya supaya kerja atau pelajaran mereka sentiasa progresif.

Individu yang tidak tahu dan tidak faham kepentingan pengurusan masa cenderung untuk stress dengan bebanan kerja atau belajar. 

Stress kerja atau belajar sebenarnya boleh hilang sekiranya anda menetapkan matlamat kerja harian, objektif bulanan dan visi tahunan yang betul.

Apabila anda lihat perkembangan kerja atau pelajaran anda, anda akan berterima kasih kepada diri anda kerana mula lebih awal. 

 

2. Peluang Untuk Capai Matlamat Hidup

Untuk capai matlamat hidup, anda perlu set sistem yang baik untuk capai matlamat tersebut.

Langkah pertama untuk mempunyai sistem yang baik adalah dengan menetapkan jumlah jam dan produktiviti yang anda mampu buat dalam sehari untuk capai matlamat tersebut. 

Selepas terbiasa dengan jumlah jam kerja yang tepat, anda akan lebih produktif dan ada peluang yang lebih cerah untuk capai matlamat hidup walaupun proses yang anda lalui untuk capai lebih perlahan berbanding orang lain. 

 

3. Lebih Banyak Masa Untuk Diri Sendiri

Individu yang menghormati masanya sendiri akan dihormati oleh orang lain.

Penyataan ini sebenarnya tepat kerana secara praktikal, orang lain tidak akan hormat terhadap orang yang membuat mereka menunggu dan memerlukan masa yang sangat lama untuk menyelesaikan satu tugasan. 

Kunci untuk menjadi orang yang menghormati masa adalah dengan disiplin asas bermula waktu anda bangun dari tidur.

Bangun awal setiap hari bermakna anda ada lebih banyak masa untuk fikirkan matlamat diri sendiri sebelum diganggu oleh hal-hal luaran yang lain. 

4. Belajar Mengawal Keperluan & Kehendak Diri

Semua manusia tidak kira jantina, bangsa, keturunan dan geografi dan latar belakang ada masalah yang sama iaitu, mereka sukar untuk mengenal pasti antara keperluan dan kehendak diri.

“Secara teori, keperluan asas seorang manusia perlu dipenuhi sebelum memenuhi kehendak diri.”

Orang yang produktif hasil dari pengurusan masa yang betul, cenderung untuk menggunakan masa mereka setiap hari dengan baik dan kurang memikirkan kehendak diri secara melampau. 

Tips untuk belajar mengawal kehendak diri adalah dengan melupakan kehendak tersebut selama 3 hari.

Sekiranya selepas 3 hari perkara tersebut masih bermain di fikiran anda, maka anda boleh lihat semula samada perkara itu adalah keperluan yang anda perlukan pada saat itu. 

 

3 Tips Pengurusan Masa Untuk Jadi Produktif

 

Tetapkan Tugasan & Jangka Masa

  • Tugasan – Tulis dan rangka pelan tugasan yang anda perlu siapkan mengikut jam, hari, minggu, bulan atau tahun

 

  • Jangka Masa – Pilih tarikh yang realistik dan praktikal untuk capai setiap matlamat dan objektif tugasan 

 

Fokus Pada Hasil Akhir Kerja

  • Awal Kerja – Fokus pada input & proses kerja yang anda akan lalui 

 

  • Akhir Kerja – Fokus pada output kerja yang anda hasilkan

 

Rancang Masa Anda Sehari Sebelum

  • Jurnal – Tulis rancangan & tugasan anda besok hari dalam sebuah jurnal atau Notes di komputer

 

  • Kalendar – Tetapkan loceng menggunakan Google Calendar pada setiap waktu untuk tugasan itu 

 

Pengurusan Masa Untuk Pelajar & Graduan

pengurusan masa pelajar
Kredit : Free Malaysia Today

Golongan pelajar dan graduan merupakan dua golongan yang mulia kerana mereka adalah penuntut ilmu yang mengorbankan masa, tenaga dan wang untuk jadi orang yang berguna kepada masyarakat.

Malangnya, golongan ini juga adalah golongan yang ada masalah terbesar dalam pengurusan masa. 

 

Kenal Pasti Punca Masa Anda Terbuang

mobile legend pelajar

Bak kata pepatah, ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati.’

Dalam konteks ini, anda perlu kenal pasti punca masa anda terbuang setiap hari dengan lihat kembali dalam tempoh 24 jam ke belakang, benda apa yang anda buat sehingga tidak menjadi produktif?

Ada orang kerana sosial media, ada orang kerana main game, ada orang kerana sibuk bercinta dan lain-lain. 

 

Rangka Tugasan & Aktiviti Harian Anda

daily planner untuk pengurusan masa
Kredit : Jet Pens

Setiap orang pelajar dan graduan wajib ada sebuah jurnal samada buku atau Notes di smartphone atau laptop mereka.

Cara gunakan jurnal ini adalah, anda perlu tulis secara ringkas apa perkara produktif yang anda telah buat hari ini dan apa perkara produktif yang anda ingin buat besoknya.

Dengan cara ini, anda akan tahu tugas mana yang menjadi keutamaan dan bukan keutamaan. 

 

Bina Tabiat Baru Dan Kekal Selama 30 Hari

pasangan beriadah jogging untuk pengurusan masa

Anda perlu ada tabiat baru yang bersifat produktif untuk mulakan cara hidup baru.

Antara tabiat baru yang anda boleh cuba adalah bangun awal sebelum subuh, bersenam 1 jam setiap hari, jalan 10,000 langkah sehari atau luangkan 2 jam setiap hari untuk membaca buku.

Selepas anda dapat tabiat baru, kekalkan tabiat itu untuk 30 hari dan selepas itu, tabiat itu lama kelamaan akan jadi kebiasaan dalam hidup anda. 

 

Gunakan Teknik Pomodoro

pomodoro untuk pengurusan masa
Kredit : Pomodoro io

Pomodoro adalah satu teknik time tracker untuk anda sukat waktu kerja yang anda buat supaya tugasan yang anda buat itu selesai dalam tempoh masa yang telah anda tetapkan.

Dengan cara ini, anda tidak akan bazirkan hatta 1 minit pun sepanjang tempoh menyiapkan tugasan atau ulangkaji. 

Kesimpulannya, banyak perubahan hidup yang akan berlaku kepada anda dengan hanya belajar dan praktikkan cara menguruskan masa yang betul untuk capai matlamat dan objektif hidup yang anda tetapkan. Ada banyak tips, teknik dan strategi yang dikongsikan dalam artikel ini, anda hanya perlu pilih mana-mana yang sesuai dan tepat dengan anda sahaja.

Mehmed Aezhad

Menulis konten digital sebenar yang diperlukan solopreneur dan usahawan untuk menjadi wirausahawan.

Post navigation

Leave a Comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *