Setiap hari, lebih daripada 50,000 peniaga online dan digital marketer membuat iklan di Malaysia dan hanya 25% daripada keseluruhan iklan itu berjaya mendatangkan conversion dalam bentuk lead gen, download dan sales. Salah satu elemen terbesar dalam mencipta iklan yang kreatif, menarik dan berkesan adalah ayat iklan atau ayat marketing power. Contoh ayat iklan yang menarik mestilah mempunyai struktur copywriting yang betul.
Apa yang lebih penting, dalam artikel ini, anda akan dapat struktur ayat iklan yang betul, teknik buat ayat marketing yang power dan contoh ayat iklan yang menarik dari 10 niche dan industri yang berbeza.
“Untuk cipta ayat iklan dan ayat marketing yang power, seorang copywriter perlu tahu yang asas menjual di sosial media yang sebenar adalah untuk dengan tidak menjual.”
Apa yang membezakan anda dengan copywriter dan digital marketer yang lain adalah pengetahuan untuk cipta ayat iklan yang berkesan dan bukan sekadar headline yang power semata-mata.
Dengan semua struktur, disiplin dan contoh ini, anda boleh gunakan strategi sebenar ini untuk menjadi 25% golongan copywriter dan digital marketer yang berjaya.
Apa Itu Ayat Iklan?
Ayat iklan adalah tulisan yang mampu memotivasikan, tulen (bukan plagiat) dan berjaya menghasilkan impak kepada bisnes dalam bentuk sales, lead gen, download dan langganan servis.
Ayat iklan yang bagus, mampu membuatkan target audiens merasakan seolah-olah penulis ayat iklan itu sedang bercakap di hadapan dia.
Untuk membina ayat iklan yang baik, anda perlu tahu minat, keperluan dan apa yang memotivasikan mereka untuk klik pada link atau kekal pada website anda.
Ayat iklan yang hebat tidak terbatas pada headline yang bagus semata-mata, ia adalah kemampuan untuk memahami pemikiran dan cara mereka berinteraksi.
Dengan emosi, sebab dan motivasi yang betul, audiens akan beli produk atau langgan servis anda kerana mereka mampu visualkan bagaimana produk atau servis itu memenuhi keperluan hidup, menyelesaikan masalah dan membuat mereka lebih hampir kepada hidup yang mereka inginkan.
5 Struktur Menulis Ayat Iklan Yang Menarik
Untuk mencipta ayat iklan yang menarik, anda perlu ada struktur menulis copywriting yang betul. Struktur yang betul akan membuatkan iklan anda berjaya mencuri 3 saat pertama saat mereka membaca headline ayat iklan anda. Kemudian, mereka akan baca rangkap demi rangkap sehingga ke akhir ayat iklan tersebut.
1. Masalah
Anda perlu tahu kesusahan, kepayahan dan masalah sebenar yang dihdapi target audiens dalam urusan kehidupan seharian mereka.
Contoh masalah yang biasanya dihadapi orang awam adalah, aktiviti rutin yang remeh dan merenyahkan, proses yang melambatkan urusan mereka dan kesukaran dalam sistem kerja atau hidup mereka.
2. Huraian
Huraian merupakan elaborasi dari masalah sebenar yang mereka hadapi untuk menguatkan poin tersebut. Dengan huraian yang betul, anda boleh mempengaruhi mereka untuk baca struktur ayat iklan seterusnya iaitu solusi.
3. Solusi
Solusi adalah penyelesaian sebenar yang audiens inginkan yang mampu menyelesaikan masalah dalam rutin kerja/harian mereka berdasarkan poin yang anda nyatakan di struktur pertama tadi.
Dalam fasa ini, anda boleh kaitkan solusi dengan fungsi produk atau servis yang anda jual.
4. Testimoni / Transformasi
Target audiens perlu diyakinkan bahawa produk atau servis yang anda jual adalah penyelesaian unggul dan anda perlu keluarkan beberapa testimoni sebenar yang berjaya.
Testimoni atau transformasi tersebut mestilah berunsur inspirasi dengan elemen sebelum vs selepas supaya audiens dapat visual bagaimana cara menggunakan produk atau servis anda dan jangkaan tempoh masa perubahan hidup tersebut dapat berlaku kepada mereka.
5. Call-To-Action
Selepas target audiens membaca ayat iklan yang anda tulis, mereka perlu tahu apa tindakan seterusnya yang perlu dibuat untuk membuat pembelian di website, marketplace atau bercakap dengan sales tim anda menerusi Facebook Messenger atau WhatsApp.
Anda perlu secara spesifik beritahu audiens untuk hubungi tim anda atau buat pembelian di link website yang dinyatakan.
Bagaimana Buat Ayat Marketing Yang Power?
Emosi Pada Ayat Iklan
Masukkan emosi yang akan mencetus motivasi target audiens untuk buat tindakan samada menghubungi anda atau membuat pembelian di website anda. Emosi yang anda boleh masukkan dalam ayat iklan adalah :-
- Sedih – Ceritakan kesedihan yang mereka/orang lain rasakan
- Marah – Ulang kesilapan yang biasa dilakukan target audiens
- Gembira – Buat audiens rasa bahagia membaca ayat iklan anda
- Serba salah – Buat mereka rasa bersalah jika tak buat keputusan cepat
- Inspirasi – Cetus aura positif supaya mereka ingin jadi sebahagian darinya
Guna Ayat Digunakan Audiens

Jangan sesekali menggunakan ayat canggih atau jargon seperti sinergi, detritivor, phospolipid ergonomis dan sebagainya.
Itu bukanlah ayat yang digunakan audiens setiap hari. Sebaliknya, guna bahasa yang lebih simple dan benar-benar digunakan audiens dalam kehidupan seharian mereka.
Headline Kena Curi Perhatian

Menurut Harry Dry, pengasas Copywriting Examples, headline dalam setiap ayat iklan adalah bahagian paling penting.
Sekiranya audiens tak mampu baca headline anda, mereka tidak akan membaca perenggan seterusnya apatah lagi buat pembelian produk dan servis anda. Triknya adalah gunakan headline yang lebih pendek dan tepat.
Jangan Typo Dalam Ayat Iklan

Orang yang membaca ayat iklan yang ada kesalahan ejaan dan tatabahasa lazimnya tidak faham apa yang cuba disampaikan dalam ayat iklan itu atau mereka akan salah faham dengan maksud sebenar yang cuba disampaikan.
Anda perlu semak setiap bait perkataan dan ayat dalam iklan termasuk link dan nombor telefon (jika ada) kerana jika tersilap, kempen marketing anda boleh dikira gagal secara total. Selain itu, brand yang typo dalam ayat iklan akan nampak tidak profesional, murah dan tidak serius dalam buat iklan secara online.
Guna Konsep Storytelling
Dalam menulis ayat iklan dan ayat marketing power, anda perlu tulis dalam nada santai dan storytelling seolah-olah anda sedang bersembang dengan target audiens.
Jangan sesekali tulis ayat iklan seperti buku teks atau artikel ilmiah. Buat pengetahuan anda, 90% daripada ayat iklan yang convert ada elemen storytelling.
Guna Teknik Testimoni

Perlu anda tahu yang audiens perlu dapat visual faedah produk anda pada orang yang mempunyai masalah yang sama seperti mereka.
Maka, gunakanlah testimoni dengan konsep sebelum vs selepas supaya target audiens cepat faham perubahan yang akan mereka alami selepas guna produk/servis anda.
Dengan cara ini, mereka akan nampak bahawa produk/servis anda adalah apa yang mereka perlukan dan akan bantu capai life-goal mereka. Apa yang penting, testimoni itu mestilah testimoni sebenar yang bukan dibuat-buat.
10+ Contoh Ayat Iklan Yang Menarik
1. Contoh Ayat Iklan Makanan
Susahnya Nak Cari Makan Tengah Hari Yang Murah Tapi Kenyang!
Apatah Lagi Nak Cari Makanan Yang Sihat Bawah RM10…
.
Dengan musim harga barang naik, memang sukar nak cari lunch.
Yang harga bawah RM10, sihat, tak kedekut dan sedap!
.
Mesti anda sedang cari makanan ini :-
✅ Nasi Briyani Ayam
✅ Nasi Lauk Campur
✅ Nasi Ayam Hainan
✅ Nasi Lemak Berlauk
✅ Nasi Ayam Penyet (SET)
✅ Nasi Ayam Goreng Kunyit
.
Mujurlah OrderMakan ada semua menu ini Isnin – Jumaat.
Anda boleh order seawal 10AM – 4PM (Cover seluruh Lembah Klang)
.
[FREE] Air mineral untuk 100 orang terawal setiap hari.
Harga semua menu adalah RM9 sahaja.
Harga rider tertakluk kepada Lalamove.
.
Order ambil masa 30 minit – 45 minit sahaja.
Hanya perlu order di (link) atau WhatsApp kami (nombor)
.
Order Makanan Food Enterprise : ordermakan.com (012-3456789)
No 5, Jalan Wirawati 9, Taman Maluri, 55100, Kuala Lumpur
2. Contoh Ayat Iklan Tudung

Tengah cari shawl terbaru yang orang belum pakai?
Inilah dia Garden Shawl koleksi terbaru Soft Floral.
.
Material sangat lembut bak sutera
Inilah shawl yang anda cari selama ini :-
.
✨ Kain lembut senang dibentuk dalam 1 minit
✨ Material berkualiti tinggi (Flowy Korean Chiffon)
✨ Jenis printed wide shawl yang sesuai untuk muslimah moden
.
Hanya RM199 untuk 3 helai.
Jangan tangguh lagi. Dapatkan sekarang.
.
Klik pada link di bawah untuk beli.
Link : http://coverscloset.com
3. Contoh Ayat Iklan Kosmetik

Kulit Gelap & Jeragat Punca Hari Anda Suram…
Vitamin C Dengan Minyak Teh Boleh Ceriakan Semula Hari Anda!
75% daripada wanita berumur 30 tahun ke atas hadapi masalah ini :-
Kulit kusam dan tak bermaya kerana kurang vitamin
Bekas jeragat susah nak hilang walaupun dah cuba macam-macam
Tak jumpa produk skincare water based yang ada kandungan vitamin C tinggi
Aiken Vita-C Exfoliating Water adalah solusinya.
Kesan seawal 30 hari dengan 2 kali penggunaan setiap hari.
💙 Bekas jerawat & jeragat berkurangan
💙 Minyak pati pokok teh untuk anti-penuaan
💙 Kulit muka nampak lebih sihat dan bermaya
.
DISKAUN 15% jika anda beli sebelum 31 Ogos 2022
Beli di sini : https://aiken.com.my/
4. Contoh Ayat Iklan Hartanah

Sedang mencari rumah di sekitar Puchong & Sepang?
Ini rumah dengan 3 Bilik dengan ansuran RM1,280 sebulan!
.
KR7 Residences, projek servis residen mewah yang mampu milik terbaru di Masteron Sdn Bhd.
Kediaman dibina untuk gaya hidup moden, futuristik dan urban.
.
Jenis : Servis Residen
Perabot : Separa
Bilik : 2+1 / 3
Saiz : 753kps – 890 kps
Ketumpatan : 484 unit sahaja
Keselamatan : 3 lapisan (sistem & pengawal)
Orientasi : Setiap unit menghadap utara & selatan
.
Kenapa projek ini sesuai untuk anda?
.
✅Sistem sekuriti tinggi untuk keselamatan setiap unit
✅Ada utiliti tambahan sekiranya berlaku lockdown/PKP semula
✅Setiap unit ada smart home sistem & aplikasi smart community
✅Akses ke lebuhraya ELITE, SKVE, LDP, MEX dalam 10 minit sahaja
.
Terhad untuk 400 unit sahaja. Gaji RM3,500 adalah syarat minima.
Mohon sekarang di sini : (link)
5. Contoh Ayat Iklan Takaful

Ini Kisah Bagaimana Keluarga Ini Terima Hibah RM411,000+
Semuanya Bermula Dengan Kesedaran & RM59.
.
Tak ramai orang Melayu Islam kita yang ada pelindungan.
Insurans sangat rendah, hibah jauh sekali.
.
Ada yang hidup melarat lepas suami/bapa mereka meninggal.
Ada yang terpaksa mengemis dan mohon bantuan Zakat.
.
Semua ini boleh elak kalau anda tahu apa itu hibah.
Ketua keluarga kena sediakan tabung jika berlaku apa-apa.
.
Dalam masa kurang 1 bulan, waris dapat pampasan untuk teruskan hidup.
Nak RM500K? RM1 juta atau RM10 juta? Ikut kemampuan anda.
.
Untuk pertanyaan dan quotation percuma, WhatsApp saya.
Klik di sini : http://aliahtakaful.yzza.io/38xb5
.
Sharifah Aliah (Unit Manager)
Great Eastern Takaful Advisor
6. Contoh Ayat Iklan Perabot

Barang yang terbaik kita beli dalam hidup biasanya percuma atau murah.
Dengan harga super murah dan kualiti tinggi ini, anda mesti terkejut bila datang ke IKEA.
7. Contoh Ayat Iklan E-Book

Marketer hari ini perlu menjadi lebih fleksibel dari sebelumnya!
Dalam karier ini, tidak cukup sekadar menjadi…
.
Generalist : Marketer yang tahu sedikit untuk semua benda.
Specialist : Marketer yang tahu satu spesifik skill dan fokus pada bidang itu.
.
Jadi, apa medium yang terbaik?
.
Marketer yang mampu sambungkan semua asas digital marketing dan mahir dalam 1-3 bidang dan mampu keluarkan strategi yang holistik!
.
Disebabkan itulah kami bangunkan Digital Marketing Mastery, latihan industri paling komprehensif hari ini. Supaya anda mampu jadi “Jack of All Trades” dan expert dalam 1 atau 2 bidang dalam digital marketing.
.
Ini topik yang anda akan pelajari :-
.
✅ Email Marketing
✅ Search Marketing
✅ Digital Advertising
✅ Content Marketing
✅ Data & Optimization
✅ Social Media Marketing
✅ Community Management
.
Inilah masterclass dalam digital marketing. Dapatkan diskaun 80% + 5 BONUS PERCUMA LAIN!Dapatkan e-book ini sekarang!
(link)
8. Contoh Ayat Iklan Handphone

Bayangkan Hollywood Dalam Poket Anda
iPhone 13 Pro. Dengan naik taraf kamera terbesar dalam sejarah iPhone.
.
Hadir dengan fungsi Cinematic mode yang akan jadikan fokus anda lebih tajam, bokeh lebih luas, 3x optikal zoom, low-light performance, video makro dan teknologi penstabilan terkini.
.
Semuanya dirakam dalam ProRes. Ia adalah Hollywood dalam poket anda.
9. Contoh Ayat Iklan Baju

Bila jadi cantik, kemas dan baju terletak pada badan adalah jawapannya.
Klik untuk beli High Roller Bodysuit dan Dorsey XL Western dari Levi’s.
10. Contoh Ayat Iklan Kereta

Dengan Vios GRS, bersedialah untuk merasai keterujaan secara maksimum!
Dapatkan Vios GR-S hanya dari RM708* sebulan: (link) .
#ViosGRS #ToyotaMY #ToyotaMalaysia #Toyota
*Tertakluk Kepada Terma dan Syarat*
11. Contoh Ayat Iklan Servis

Ingin belanja dan memperoleh mata ganjaran & mendapat faedah? Jadi ahli Lotus’s, kumpul mata ganjaran setiap kali anda berbelanja & nikmati faedahnya. Log masuk atau daftar di aplikasi Lotus’s sekarang!
Kesimpulannya, semua contoh ayat iklan yang dikongsikan di atas adalah kreatif, menarik dan berkesan mengikut target audiens yang mereka sasarkan.
Belum tentu ayat iklan yang panjang itu berkesan dan belum tentu ayat iklan yang pendek itu tidak berkesan.
Apa yang pasti, dengan disiplin, struktur dan formula ayat iklan yang betul, anda mampu jual produk atau servis anda pada lebih ramai orang.
Leave a Comment