Home » Kajian Kes » 11 Cabaran Dalam Perniagaan Yang Dihadapi Semua Bisnes
usahawan stress dengan cabaran dalam perniagaan

11 Cabaran Dalam Perniagaan Yang Dihadapi Semua Bisnes

Dalam setiap niche dan industri yang wujud di dunia, wujud 1001 cabaran dalam perniagaan yang tersendiri. Malangnya, tiada solusi yang sesuai untuk semua fasa bisnes, saiz bisnes dan jenis bisnes. Ini memberi tekanan kepada solopreneur dan usahawan untuk mengekalkan keberadaan bisnes mereka di pasaran.

Dalam artikel ini, anda akan diterangkan dengan 11 jenis cabaran dalam perniagaan yang terkini dan seringkali dihadapi bisnes online dan bisnes yang mempunyai premis fizikal. 

Satu fakta yang tidak dapat disangkal adalah, tidak ada solopreneur dan usahawan yang secara gembira mengatakan mengusahakan bisnes itu mudah. Bisnes itu sukar dan jika bisnes itu mudah, tidak akan ada orang yang bekerja dan semua orang akan menjadi pemilik perniagaan.

“Semakin besar sebuah bisnes, semakin kompleks masalah yang dihadapi. Spektrum cabaran dalam perniagaan tidak terbatas kepada marketing dan jualan sahaja, tetapi lebih luas lagi merangkumi admin, staf, kewangan dan operasi.”

Sila baca artikel ini sampai habis untuk mengetahui cabaran dalam perniagaan dan masalah sebenar yang dihadapi majoriti solopreneur dan usahawan perniagaan dalam membangunkan brand dan bisnes mereka secara online mahupun secara tradisional.

 

Apa Itu Perniagaan?

kitaran perniagaan
Kredit : Quora

Perniagaan adalah aktiviti menjual produk atau servis dengan objektif mencapai keuntungan. Anthony Robbins menyebut, setiap masalah adalah anugerah, dan tanpanya manusia tidak akan pernah berkembang.

anthony robbins
Kredit : Toolhero

Sebuah perniagaan yang tulen sebenarnya, adalah yang menawarkan produk atau servis yang menawarkan solusi sebenar kepada masalah sebenar yang dihadapi individu dan masyarakat. Semakin besar dan kompleks masalah itu, semakin besar nilai yang individu atau masyarakat sanggup bayar untuk sebuah solusi. 

11 Cabaran Dalam Perniagaan Yang Dihadapi Semua Bisnes

design thinking dalam perniagaan
Kredit : Udacity

1. Perubahan Trend Dalam Perniagaan

Di abad ke 21 ini, perubahan trend berlaku begitu cepat kerana perkembangan teknologi dan penggunaan teknologi secara total dalam kehidupan masyarakat. Orang ramai inginkan perubahan yang memudahkan proses hidup mereka dan mudah bosan dengan trend lalu selepas mencapai tahap tepu.

Solopreneur dan usahawan 5 tahun kebelakang mungkin tidak menyedari bahawa akan ada pembeli yang sanggup membeli di dalam Instagram LIVE, TikTok LIVE dan Shopee LIVE.

Usahawan sebenar akan faham bahawa trend adalah kehendak dan perubahan yang dibawa masyarakat dan mereka perlu beradaptasi dengan perubahan trend dalam perniagaan. 

 

2. Mengekalkan Pekerja Berbakat Dalam Perniagaan

Untuk rekod, Malaysia kehilangan lebih daripada 500,000 warganegara tempatan yang pakar dalam pelbagai bidang kerana bermigrasi ke negara membangun seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan United Arab Emirates semenjak tahun 2004.

Kesannya, kolam pekerja mahir dan berbakat yang ada di Malaysia sangat terhad dan trend golongan pekerja mahir tempatan yang lompat ke syarikat lain yang mampu beri gaji dua kali ganda atau faedah yang menarik meningkat secara drastik. 

Syarikat terpaksa keluarkan kos dua kali ganda atau lebih untuk mengekalkan pekerja yang berbakat supaya mereka tidak berpindah ke syarikat atau pesaing lain.

Disebabkan majoriti syarikat tidak mampu melahirkan pekerja yang mahir dan berkualiti, maka menggajikan pekerja berbakat dilihat sebagai solusi jangka pendek paling mudah.

 

3. Jangkaan Waktu Kerja Fleksibel & WFH

Ekoran wabak COVID-19 yang menyebabkan dunia dilanda pandemik termasuk Malaysia seawal Februari 2020, budaya work-from-home atau bekerja dari rumah telah menjadi dominan.

Kebanyakan majikan di seluruh dunia membuat perubahan radikal dengan membenarkan waktu kerja fleksibel sepanjang tempoh kuarantin secara mega di seluruh dunia.

Akan tetapi, selepas pandemik reda dan ekonomi sedang berada dalam fasa pulih seperti sedia kala, golongan pekerja menjangkakan waktu kerja fleksibel dan WFH akan terus kekal.

Dan ini merupakan cabaran kepada usahawan yang mengusahakan bisnes dengan premis fizikal yang memerlukan kakitangan untuk mengurus operasi perniagaan miliknya.

 

4. Kenaikan Harga Barang Yang Drastik

Sepanjang tempoh Januari 2022 – Ogos 2022, harga barang mentah di Malaysia telah meningkat melebihi 4 kali dan kenaikan harga barang ini telah menyebabkan produktiviti dan pengeluaran kebanyakan perniagaan terganggu kerana masalah bekalan.

Solopreneur dan usahawan dilihat mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan harga produk dan kadar servis mereka untuk menampung peningkatan harga kos untuk mengusahakan bisnes. 

Malangnya, kuasa beli masyarakat yang masih rendah dan diburukkan dengan inflasi global pasca pandemik ini menyebabkan ada barang dan servis yang dipromosi dilihat terlalu mahal.

 

5. Polisi Dan Dasar Kerajaan Yang Beri Kesan Pada Bisnes

Ketidakcakapan Kerajaan dalam menangani krisis bahan mentah, tangga gaji dan sosial menyebabkan perniagaan mengalami kerugian yang tidak sedikit dari segi jualan.Hal ini kerana,

Kerajaan hanya mampu bersifat reaktif dengan sebarang perubahan di peringkat domestik dan antarabangsa dan lambat menggubal polisi dan dasar yang memberi kelebihan kepada perniagaan SME, peniaga kecil-kecilan dan solopreneur. 

 

6. Permintaan Melebihi Penawaran Dalam Masa Singkat

Akan ada fasa dalam bisnes di mana, permintaan terhadap suatu produk atau servis melebihi penawaran yang ada pada ketika itu. Dalam hukum ekonomi, permintaan yang melebihi penawaran akan menimbulkan inflasi dan usahawan lazimnya akan meningkatkan harga produk atau servis mereka.

Masalah ini akan berlarutan sekiranya usahawan itu gagal menemui jalan untuk meningkatkan penawaran bagi memenuhi permintaan semasa dan menjangkakan permintaan mendatang. 

 

7. Kos Pemasaran Yang Semakin Meningkat

Boleh dikatakan 99% perniagaan di Malaysia sudah beradaptasi dengan penggunaan teknologi dalam aktiviti jual beli mereka. Dan 88% perniagaan hari ini menggunakan pemasaran secara digital menerusi Google dan sosial media sebagai teknik pemasaran.

Malangnya, dengan lambakan perniagaan yang menggunakan platform sama dan strategi yang sama, kos pemasaran di platform Google, Facebook, Instagram dan TikTok meningkat.

Hal ini dapat dilihat sewaktu musim perayaan di mana, kos pemasaran naik secara drastik. Usahawan perlu bijak mengatur strategi marketing perniagaan supaya kewangan syarikat tidak mengalami kerugian dan defisit. 

 

8. Pemilihan Software Perniagaan Yang Betul

Salah satu strategi mengurangkan kesilapan dalam bisnes adalah dengan mengurangkan kesilapan manusia. Dan cara untuk mengurangkan kesilapan manusia adalah dengan menggantikan tugasan yang perlu dilakukan manusia dengan software.

Isunya adalah, wujud pelbagai software dengan fungsi seakan-akan sama dengan keperluan perniagaan itu.

Setiap perniagaan mempunyai masalah yang berbeza dan pemilihan software perniagaan yang betul, murah dan efektif sebenarnya tidak mudah, lebih-lebih lagi apabila perniagaan itu dalam proses mengembangkan perniagaan. 

 

9. Jual Produk Yang Salah Pada Pembeli

Punca utama daripada senarai 20 punca kenapa sebuah perniagaan itu gagal adalah kerana, perniagaan itu jual produk yang salah pada pelanggan mereka. Produk yang ditawarkan itu berkemungkinan besar terlalu mahal, terlalu murah, tidak efektif atau sebenarnya langsung tidak diperlukan oleh pelanggan mereka.

Apabila sebuah perniagaan menjual produk yang salah pada pembeli mereka, perniagaan itu sukar untuk bertahan untuk jangka masa panjang kerana pembeli tidak membeli semula produk itu atau mengesyorkan pada keluarga, sahabat dan kenalan mereka. 

 

10. Pengurusan Kewangan Yang Lemah

Sebuah perniagaan yang bagus dilihat pada kekuatan kewangan menerusi penyata kewangan tahunan. Perniagaan yang bagus lazimnya mempunyai rizab tunai (cash reserve) yang besar untuk berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan seperti pandemik, perang, penambahan kos operasi dan sebagainya.

Usahawan yang baik dan mempunyai asas kewangan tidak akan merompak wang perniagaan untuk menyara gaya hidup seperti menggunakan wang syarikat untuk pergi bercuti ke luar negara dan membuat bayaran ansuran kereta mewah. 

 

11. Terlalu Banyak Persaingan Dalam Niche & Industri

Sungguhpun persaingan itu bagus dalam semua jenis niche dan industri, ada satu tahap di mana persaingan itu mampu membunuh sebuah perniagaan. Hal ini kerap kali berlaku apabila pesaing menurunkan harga jualan hatta mereka hanya memperoleh margin keuntungan yang sangat rendah.

Ada juga situasi di mana, produk yang baru dilancarkan sebuah perniagaan telah diciplak atau plagiat oleh pesaing dan ini menyebabkan pembeli sukar mengenal pasti perniagaan atau brand asal yang mengeluarkan produk tersebut. 

Jelas sekali semua cabaran dalam perniagaan yang dikongsikan di atas tidak mudah untuk ditangani seorang usahawan dan mustahil untuk diselesaikan dalam masa satu malam. 

Apa yang pasti, usahawan perlu bijak mengurus risiko dalam perniagaan dan berjumpa dengan usahawan lain untuk berkongsi idea, pendapat dan buah fikiran untuk menyelesaikan cabaran yang mereka sedang hadapi. 

Mehmed Aezhad

Menulis konten digital sebenar yang diperlukan solopreneur dan usahawan untuk menjadi wirausahawan.

Post navigation

Leave a Comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *