Home » Bisnes » Apa Itu Keusahawanan? Ini Maksud, Contoh & Definisi Sebenar
keusahawan usahawan

Apa Itu Keusahawanan? Ini Maksud, Contoh & Definisi Sebenar

Ramai orang yang ingin jadi usahawan kerana pelbagai faktor. Malangnya, di kalangan orang yang ingin menjadi usahawan itu, tidak ramai yang faham konsep dan konteks sebenar usahawan dan dunia keusahawanan.

Orang yang bijak akan faham maksud keusahawanan dan definisi keusahawanan yang sebenar.

Kajian dari Harvard Business School, daripada 9 orang yang ingin jadi usahawan, hanya 1 orang sahaja yang ada ciri-ciri keusahawanan yang betul untuk jadi usahawan yang berjaya.

Bakinya, belum berkemampuan dari segi kematangan, pengalaman, disiplin dan skil yang mencukupi untuk jadi usahawan. Dalam artikel ini, anda akan didedahkan dengan maksud, ciri-ciri dan definisi keusahawanan yang sebenar.

Baca artikel ini sampai habis supaya anda dapat cara fikir yang betul untuk menjadi seorang usahawan yang tulen. 

 

Apa Itu Usahawan?

usahawan malaysia

Maksud usahawan adalah, seorang individu yang membangunkan sebuah perniagaan dengan inovasi dan berjaya mengatasi risiko dalam perniagaan untuk mencapai kejayaan dan keuntungan.

Usahawan juga adalah orang yang stabil dari segi emosi dan mereka perlu bijak membuat keputusan-keputusan yang penting dalam perniagaan untuk kekal relevan dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

Definisi Usahawan Sebenar

Tidak ada definisi usahawan yang mutlak kerana terdapat pelbagai jenis usahawan di dunia ini. Secara kasar, definisi usahawan adalah orang yang menyelesaikan masalah masyarakat dan sosial dengan menawarkan produk atau servis dengan objektif mencapai objektif perniagaan.

Kejayaan dan prestasi seorang usahawan lazimnya disukat pada saiz syarikat dengan jumlah staf, keuntungan, kekuatan kewangan dan penguasaan dalam pasaran. 

Dalam konteks tugasan harian, usahawan adalah orang yang mengupah individu lain untuk melakukan kerja-kerja rutin harian dalam perniagaan supaya usahawan boleh fokus kepada tugasan yang lebih penting dengan fokus mendatangkan lebih keuntungan pada perniagaan. 

Orang yang bekerja sendiri tanpa menggajikan individu lain digelar solopreneur dan mereka adalah orang yang mempunyai cara fikir seorang usahawan tetapi belum lagi mencapai tahap usahawan yang sebenar. 

 

Ciri-Ciri Seorang Usahawan 

Untuk mengenali usahawan, anda perlu tahu yang setiap usahawan mempunyai persamaan antara satu sama lain.

Dalam konteks keusahawanan, ada empat ciri-ciri yang ada pada seorang usahawan. 

1. Ingin Selesaikan Masalah

Seorang usahawan seperti manusia biasa lain, pasti akan menghadapi kesukaran dalam hidup dan berhadapan dengan masalah yang sama seperti orang lain.

Usahawan melihat masalah yang wujud sebagai satu peluang untuk membuat duit dan semakin besar sebuah masalah, semakin besar bayaran yang masyarakat sanggup bayar untuk selesaikannya. 

Contoh terdekat adalah, bagaimana Anthony Tan membangunkan aplikasi MyTaxi sebelum berubah Grab kerana ingin menyelesaikan masalah kompeten pemandu dan kadar caj teksi di Malaysia. 

2. Bijak Mengurus Risiko

Individu yang menjadi usahawan lazimnya melihat segala masalah dalam spektrum yang berbeza dengan orang lain.

Mereka menilai risiko, potensi, peluang dan cabaran yang ada sehabis mungkin sebelum membuat sebarang keputusan dalam perniagaan. 

Segala keputusan yang melibatkan perniagaan diambil dengan berhati-hati supaya perniagaan yang dibangunkan tidak menghadapi risiko yang terlalu besar yang boleh memberi kesan pada tugasan harian pekerja, jualan harian dan visi perniagaan. 

3. Ada Visi Jangka Panjang

Orang kebanyakan yang menjual produk atau menawarkan servis cenderung untuk membeli benda yang menampakkan mereka berjaya dan kaya di mata masyarakat.

Berbeza dengan usahawan sebenar, mereka mempunyai visi jangka panjang yang besar dan hati mereka perlu besar dalam perjalanan mencapai visi tersebut. 

Dan disebabkan itulah, banyak usahawan yang kita kenali, hidup secara sederhana, berjimat cermat dan tidak menampakkan mereka sudah berjaya dan kaya kerana mereka mengejar visi yang lebih besar di masa hadapan. 

4. Sentiasa Belajar Dari Orang Lain

Usahawan adalah orang yang sukakan proses dalam perniagaan lebih daripada destinasi dalam perniagaan.

Mereka lebih suka proses dalam mencapai RM1 juta berbanding berfikir perlu beli kereta berjenama mewah dari Eropah atau tidak selepas capai RM1 juta. 

Maka, proses itu memerlukan usahawan belajar dengan orang yang sudah capai objektif perniagaan mereka atau sekurang-kurangnya sedang dalam proses mencapai objektif tersebut. 

Dan disebabkan itulah, usahawan sanggup menurunkan ego dan emosi mereka semata-mata untuk belajar dari orang yang lebih bijak dari sudut ilmu dan pengalaman berbanding mereka. 

Contoh Usahawan Sebenar Di Malaysia

  1. Anthony Tan 
  2. Yusuf Taiyoob 
  3. Ameer Ali Mydin 
  4. G Gnanalingam

Anthony Tan merupakan pengasas bersama Grab Holdings Inc dan lebih dikenali sebagai Grab di Asia Tenggara.

Grab adakah super-app yang membolehkan pengguna memesan pemandu, membeli makanan dan membuat pembayaran secara online.

Grab telah berjaya menghalau Uber dari Malaysia pada tahun 2018 dan kini menjadi salah satu super-app utama di Malaysia, Singapura dan Indonesia. 

anthony tan grab founder
Kredit : Business Insider

Datuk Seri Yusuf Taiyoob merupakan dilahirkan pada 23 Disember 1958 dan dibesarkan di Malaysia. Sebelum berjaya mencipta jenama Yusuf Taiyoob, beliau menjual minyak wangi di bawah jenama Perfumes of Penang dan menubuhkan Yusuf Cosmetics.

datuk seri yusoof taiyoob
Kredit ; Options The Edge

Kini, Yusuf Taiyoob merupakan salah satu jenama pembekal 30 jenis kurma dan 100 produk makanan lain di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. 

Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin merupakan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings atau lebih dikenali sebagai MYDIN.

datuk ameer ali mydin founder mydin
Kredit : Astro Awani

Di bawah pimpinan beliau, MYDIN telah menjadi sebuah rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar di Malaysia dan legasi bapanya telah diteruskan beliau sehingga kini, MYDIN mempunyai lebih daripada 70 cawangan di seluruh Malaysia. 

Tan Sri Datuk G Gnanalingam dilahirkan di Singapura sebelum dibesarkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan adalah usahawan dengan susur galur dari Sri Lanka.

Beliau merupakan usahawan dan billionar yang masyhur di Malaysia dan bertanggungjawab membangunkan Westports Holding Berhad. 

datuk g gnanalingam westport founder
Kredit : Aces Awards

 

Apa Itu Keusahawanan?

Dalam bahasa mudah, keusahawanan adalah kemampuan dan kesediaan untuk membangun, mengurus dan menjalankan sebuah perniagaan di samping ketidaktentuan dalam keuntungan dan risiko perniagaan.

Dalam konteks ekonomi pula, keusahawanan berkait rapat dengan kombinasi penggunaan sumber alam seperti tanah sumber asli, pekerja, dan modal perniagaan untuk mendapat keuntungan. 

Visi keusahawanan dilihat sebagai satu proses mengambil risiko dalam membangunkan masyarakat dan negara sehingga mampu menjadi mendapat tempat di pasaran global.

Sesetengah negara di dunia seperti Amerika Syarikat, China dan termasuk Malaysia juga mempunyai program keusahawanan di peringkat IPT dan awam untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang kompetitif. 

 

4 Ciri-Ciri Keusahawanan

Dalam konteks keusahawanan, ada beberapa elemen yang akan dipupuk untuk melahirkan usahawan yang lebih produktif, efisien dan kompetitif untuk pasaran mendatang. 

1. Eksperimen Yang Berstruktur

Dalam dunia keusahawanan, usahawan dipupuk untuk melakukan eksperimen menerusi metode Minimum Viable Product (MVP) untuk capai Product Market Fit (PMF).

Masalahnya adalah, majoriti usahawan tidak mempunyai struktur kerja dan proses yang betul untuk eksperimen produk/servis dalam pasaran. 

Usahawan akan dilatih untuk membuat eksperimen yang lebih terstruktur dengan sistem kerja dan proses yang betul untuk capai objektif asal perniagaan. 

2. Cepat Beradaptasi

Dalam era dunia teknologi digital hari ini, agak sukar untuk menjangkakan trend dan tingkah laku pengguna dalam tempoh 24 bulan mendatang apatah lagi 10 tahun mendatang.

Usahawan perlu cepat beradaptasi dengan menggunakan teknologi terkini dalam sebahagian proses perniagaan dan penawaran produk mereka. 

20 tahun dulu, anda mungkin boleh menggunakan telefon untuk buat tempahan hotel, tetapi hari ini semua orang menggunakan aplikasi seperti Booking.com, Agoda dan Airbnb. 

3. Selesa Untuk Tidak Selesa

Dalam dunia keusahawanan yang penuh dengan pesaing yang kompetitif, perubahan polisi kerajaan dan trend pengguna yang dinamik, usahawan perlu cepat berubah dan belajar dalam mengikut keadaan semasa demi mencapai objektif perniagaan.

Akan ada masa, usahawan perlu berada dalam mood tidak selesa kerana mereka perlu belajar benda baru atau mereka perlu korbankan masa kerja lebih lama berbanding biasa.

Usahawan perlu sentiasa bersedia dan selesa dengan keadaan yang tidak selesa. 

4. Membina Pasukan & Pemimpin

Dunia keusahawanan tidak akan terjadi dengan bergantung kepada seorang individu sahaja. Seorang individu yang membuat keputusan untuk menjadi usahawan perlu membina pasukan (staff) yang kompeten, ada skill tinggi dan berdisiplin untuk meneraju perniagaan.

Usahawan yang cemerlang lazimnya adalah seorang pemimpin yang baik dan impak dari itu, mereka kana melahirkan lebih ramai pemimpin (usahawan) untuk masyarakat. 

Seorang pekerja yang puratanya sederhana boleh menjadi luar biasa jika dipimpin dan dibentuk oleh usahawan yang berjiwa pemimpin dengan latihan, pengalaman dan ilmu yang betul. 

Kesimpulannya, seorang usahawan perlu belajar ciri-ciri seorang usahawan dan faham konteks sebenar keusahawanan kerana perniagaan bukan sekadar mendapat untung yang tinggi setiap hari. Sebaliknya, keusahawanan adalah satu proses melahirkan lebih ramai usahawan dan pemimpin untuk menyelesaikan masalah masyarakat yang lebih kompleks

Mehmed Aezhad

Menulis konten digital sebenar yang diperlukan solopreneur dan usahawan untuk menjadi wirausahawan.

Post navigation

Leave a Comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *