Home » Produk » Ketahui Definisi, Maksud & Contoh Produk Sebelum Buat Bisnes!
maksud produk

Ketahui Definisi, Maksud & Contoh Produk Sebelum Buat Bisnes!

Dalam perniagaan, secara logiknya cara untuk jana wang adalah menerusi dua jalan iaitu menjual produk atau menawarkan perkhidmatan menerusi servis. Malangnya, ramai solopreneur dan usahawan gagal faham maksud produk dan definisi produk yang betul.

Kesannya, mereka gagal faham keperluan dan logik di sebalik tingkah laku pelanggan yang beli produk itu. 

Sebagai contoh, sebuah syarikat agensi pelancongan yang bagus akan pakejkan servis membawa pelancong ke Osaka dan Hokkaido menerusi pakej Tulip Jepun 2023.

Dengan cara ini, mereka boleh buat penambah baikan dan pembaharuan pada produk itu mengikut kesesuaian pelanggan dan trend semasa. 

Selepas anda faham segalanya berkaitan produk, barulah anda akan nampak secara holistik bagaimana sebuah produk mampu dijual 10x sungguhpun produk itu hanyalah sebuah atau unit produk sahaja.

Baca artikel ini sampai perenggan akhir sebelum anda jual apa-apa produk atau servis secara online. 

Apa Itu Produk?

contoh produk iphone 14 pro max
Kredit : Mashable

Sebuah produk itu boleh difahami dalam pelbagai maksud dan spektrum. Produk secara definisi adalah keperluan atau kehendak yang diingini pelanggan yang wujud dalam pasaran.

Produk boleh datang dalam bentuk :-

  • Idea
  • Servis
  • Acara
  • Tempat
  • Individu
  • Informasi
  • Organisasi
  • Pengalaman
  • Produk fizikal

Sebuah perniagaan tidak boleh wujud tanpa adanya produk kerana sifat sebuah perniagaan adalah menjual produk seperti barang keperluan rumah, pakaian, pengangkutan, barangan elektronik dan lain-lain untuk jana keuntungan. 

Maksud Inovasi Produk

evolusi telefon
Kredit : Codoid

Seiring dengan peningkatan taraf hidup masyarakat sosial, kitaran sebuah produk itu tidak mungkin dapat berkekalan untuk tempoh melebihi 10 tahun kerana wujud keperluan tambahan pada produk tersebut oleh pengguna.

Maksud inovasi produk adalah, penggunaan sains dan teknologi terkini di samping sumber-sumber lain seperti hasil bumi, tenaga kerja mahir dan sebagainya untuk menghasilkan sebuah produk baharu yang mempunyai lebih daripada satu fungsi. 

Produk yang bagus akan melalui proses inovasi berkali-kali dengan objektif meningkatkan kualiti hidup pengguna.

Contoh inovasi produk adalah peranti smartphone yang mempunyai fungsi teks mesej, kamera, MP3, akses internet dan lain-lain. 

Contoh Produk

Secara relatif, ada terlalu banyak yang wujud di pasaran dan produk itu sendiri boleh datang dalam bentuk fizikal seperti jam tangan dan maya seperti NFT dan pengalaman. Berikut adalah contoh produk yang ada :-

  • Acara – Konsert artis ternama. 
  • Pengalaman – Pakej percutian dan ibadah haji. 
  • Individu – Ahli muzik atau karyawan dari ASWARA. 
  • Idea – Akses kepada komuniti tertentu untuk perbincangan.
  • Tempat – Rangkaian restoran Tealive atau kedai runcit 7-11.
  • Informasi – Maklumat SSM sebuah syarikat berdaftar di Malaysia.
  • Produk Fizikal – Makanan, pakaian, alat ganti kereta dan lain-lain. 
  • Organisasi – Persatuan yang berdaftar di bawah satu badan berkanun.
  • Servis – Pembangunan website dan aplikasi, kemas rumah dan lain-lain 

Klasifikasi Produk

Klasifikasi produk adalah maklumat tambahan tentang produk yang anda perlu ada sebagai persediaan awal untuk menjual sebuah produk di pasaran.

Dalam klasifikasi produk, ada empat komponen utama iaitu :- 

  1. Jenis pelanggan 
  2. Pengalaman Membeli 
  3. Produk Yang Dijual 
  4. Industri Dalam Pasaran 

1. Jenis Pelanggan

Anda boleh pecahkan segmen pelanggan kepada beberapa jenis dan logik untuk buat pecahan pelanggan adalah supaya anda tahu jenis pelanggan mengikut keperluan mereka.

Sebagai contoh, pelanggan jenis B2B dan B2C mempunyai keperluan dan cara layanan yang berbeza. 

Jika perniagaan anda mempunyai pelanggan jenis B2B dan B2C, anda perlu wujudkan SOP pelanggan yang berbeza kerana produk yang anda tawarkan juga harus berbeza dan ini termasuklah strategi marketing yang digunakan.

2. Pengalaman Membeli

Proses membeli produk oleh pengguna penting kerana antara faktor yang menentukan parameter dan prestasi sebuah produk adalah pengalaman yang dilalui pembeli dalam proses itu.

Setiap produk harus mempunyai ciri-ciri dan teknik yang memotivasikan pembeli untuk membeli produk itu.

Dalam disiplin perniagaan, berikut merupakan empat faktor terbesar dalam klasifikasi produk :- 

Barang Keperluan – Produk yang mudah untuk dibeli lazimnya akan dibeli berkali-kali oleh pengguna tanpa perancangan khusus. Produk jenis ini biasanya senang untuk dibeli, dicari dan dijual pada harga yang rendah. 

Barang Kehendak – Produk jenis ini tidak dibeli dengan kerap oleh pengguna kerana harganya yang lebih mahal. Pembeli juga akan buat perbandingan harga, kualiti dan gaya sebelum buat keputusan untuk membeli. 

Barang Istimewa – Produk jenis ini biasanya sebuah produk dengan fungsi yang khusus  (custom made) untuk satu golongan pelanggan. Produk jenis ini memerlukan marketing yang lebih tersasar pada orang yang tepat. 

Barang Tak Dicari – Produk jenis ini ada sedikit atau tiada pelanggan semasa yang mencarinya. Lazimnya dikategorikan sebagai produk baharu di pasaran atau produk yang kurang faedah pada pelanggan.

3. Produk Perniagaan

Produk perniagaan adalah produk yang dihasilkan untuk menjalankan operasi harian perniagaan. Contoh produk perniagaan adalah material, bahan, komponen, alat ganti dan servis perniagaan.

Ini termasuklah aplikasi perakaunan, aplikasi CRM, software pengurusan sumber manusia dan lain-lain. 

4. Produk Berdasarkan Industri

Produk juga boleh digambarkan menerusi industri di mana perniagaan itu berada. Sebagai contoh, industri boleh dikategorikan seperti kesihatan, kewangan, teknologi, automotif dan lain-lain.

Produk yang dicipta berdasarkan industri itu lazimnya mengikut spesifikasi dan keperluan mutlak dalam pasaran industri itu. 

Sebagai contoh, sebuah syarikat XYZ yang mencipta lif akan mencipta lif mengikut spesifikasi dan keperluan semasa berdasarkan industri dan bukan mengikut keperluan individu semata-mata.

Apabila produk itu memasuki pasaran industri yang lebih luas, maka barulah produk itu akan mendukung keperluan pelbagai jenis pelanggan.

Syarikat XYZ tadi akan menjual lif untuk pangsapuri, rumah persendirian, bangunan kerajaan dan sekolah. 

Sebagai kesimpulan, dapat kita rumuskan bahawa ilmu memahami maksud produk, inovasi produk, jenis produk dan klasifikasi produk itu sangat penting. Perniagaan yang kenal dan tahu siapa pelanggan mereka akan keluarkan produk yang menawarkan solusi sebenar dan menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi pelanggan mereka.

Mehmed Aezhad

Menulis konten digital sebenar yang diperlukan solopreneur dan usahawan untuk menjadi wirausahawan.

Post navigation

Leave a Comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *