Home » Bisnes » Jangan Ambil Rakan Kongsi Perniagaan Sebelum Tahu 7 Fakta Ini
cara pilih rakan kongsi perniagaan yezza 0

Jangan Ambil Rakan Kongsi Perniagaan Sebelum Tahu 7 Fakta Ini

Dilema kebanyakan usahawan dalam memilih rakan kongsi perniagaan memang tidak pernah berkesudahan. Untuk info, ada tiga jenis rakan kongsi dalam perniagaan perkongsian. Malangnya, tak ramai yang tahu cara pilih rakan kongsi yang betul. 

Nak pilih rakan kongsi perniagaan sebenarnya lebih sukar dari memilih isteri/suami kerana anda perlu kenal kekuatan, kekurangan, kejujuran dan pastikan visi bisnes di antara anda dan rakan kongsi itu seiring.

Setiap usahawan ada kekurangan masing-masing samada dari sudut modal, networking, pengalaman dan skill. Rakan kongsi yang betul akan bantu bisnes berkembang lebih cepat dan pergi lebih jauh. 

Dalam perniagaan, penting untuk anda kenali jenis rakan kongsi dan cara pilih rakan kongsi perniagaan. Baca artikel ini sampai untuk dapat info yang tepat tentang rakan kongsi perniagaan. 

Apa Itu Perniagaan Perkongsian?

klinik pergigian dr syahirah perniagaan perkongsian
Kredit : Facebook

Perniagaan perkongsian adalah satu bentuk perniagaan dengan sistem organisasi yang terdiri daripada dua hingga dua puluh orang dalam sebuah perniagaan. 

Di Malaysia, kebanyakan perniagaan perkongsian dipelopori oleh perniagaan profesional seperti klinik, guaman, perakaunan dan lain-lain. 

Sebuah perniagaan perkongsian perlu ada satu perjanjian rasmi yang sah di antara semua rakan kongsi dan segala perselisihan faham di antara rakan kongsi perniagaan perlu diselesaikan secara undang-undang di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012

Baca : 11 Cabaran Dalam Perniagaan Yang Dihadapi Semua Bisnes

Kelebihan Perniagaan Perkongsian Dalam Bisnes

Untuk info, terdapat tiga jenis kelebihan membuka sebuah perniagaan perkongsian dalam bisnes. Rujuk info di bawah :- 

  • Lebih banyak idea & buah fikiran 
  • Modal gabungan lebih besar 
  • Kongsi pengalaman & skill 

a. Lebih Banyak Idea & Buah Fikiran

Dalam berdepan dengan persaingan dan pasaran yang mencabar hari ini, sebuah bisnes yang ada lebih daripada satu orang dalam penghasilan idea dan buah fikiran cenderung untuk bertahan dan kekal lebih lama dalam pasaran. 

Hal ini kerana, setiap rakan kongsi mempunyai pengalaman, ilmu dan skill berbeza yang mampu memberi impak positif dalam pembuatan keputusan kritikal dalam bisnes. 

b. Modal Gabungan Lebih Besar

Jika anda hanya mempunyai RM10,000 modal bisnes dan memerlukan RM30,000 sebagai modal pemula membuka perniagaan, anda boleh dapatkannya dengan mencari dua orang rakan kongsi dengan minat dan visi yang sama. 

Lebih ramai rakan kongsi dalam perniagaan, lebih besar modal gabungan yang anda dapat untuk buka sebuah perniagaan. 

c. Kongsi Pengalaman & Skill

Setiap orang mempunyai pengalaman, kepakaran dan skill yang berbeza dengan orang lain. Boleh jadi, anda ada modal dalam bisnes printing, tetapi tiada pengalaman. Maka, anda boleh cari orang yang ada pengalaman dalam bisnes printing untuk buka bisnes printing. 

Baca : 5 Kemahiran Dalam Perniagaan Usahawan Seperti Anda Perlu Ada

3 Jenis Rakan Kongsi Perniagaan Yang Ada

poliklinik dr azhar dan rakan-rakan perkongsian perniagaan
Kredit : Facebook

Terdapat tiga jenis rakan kongsi dalam perniagaan perkongsian. Semak ketiga-tiga jenis rakan kongsi ini untuk lihat keperluan bisnes anda.

1. Rakan Kongsi Aktif 

2. Rakan Kongsi Nominal 

3. Rakan Kongsi Lelap (Sleeping Partner) 

1. Rakan Kongsi Aktif

Jenis rakan kongsi aktif adalah individu yang menyumbangkan modal bisnes dan terlibat secara langsung dalam operasi harian perniagaan. 

Rakan kongsi jenis ini berhak menerima peratus keuntungan dan gaji bulanan atas sumbangan dalam pembangunan perniagaan perkongsian itu. 

2. Rakan Kongsi Nominal

Jenis rakan kongsi nominal adalah individu yang tidak menyumbangkan modal bisnes tetapi membenarkan namanya disenaraikan sebagai salah seorang pemilik perniagaan. 

Lazimnya, jenis rakan kongsi ini adalah orang berpengaruh yang popular seperti selebriti, ahli politik, orang kenamaan dan kerabat diraja. 

3. Rakan Kongsi Lelap (Sleeping Partner)

Jenis rakan kongsi lelap atau sleeping partner adalah individu yang menyumbangkan modal bisnes tetapi tidak terlibat secara langsung dalam operasi perniagaan. 

Jenis rakan kongsi ini berhak menerima peratus keuntungan dan menanggung kerugian tanpa ada gaji.

Baca : 5 Sebab Ini Jadikan Perniagaan Anda Berjaya Kurang 3 Tahun

7 Cara Pilih Rakan Kongsi Perniagaan Yang Betul

Sebenarnya, ada banyak cara untuk pilih rakan kongsi perniagaan bergantung kepada keperluan dan objektif bisnes. Anda boleh gunakan cara yang dikongsikan di bawah. 

1. Jujur Dan Amanah

Sifat jujur dan amanah adalah kriteria utama yang anda perlu cari pada seorang bakal rakan kongsi. Hal ini kerana, perniagaan melibatkan banyak hal membabitkan keputusan bersama, modal, masa dan tenaga. 

Agak sukar untuk menilai sifat jujur dan amanah seseorang dalam masa singkat, tapi anda boleh tanya beberapa soalan atau uji tahap kejujuran dan amanah bakal kongsi sebelum buat keputusan ambilnya jadi rakan kongsi. 

2. Pengalaman Dalam Industri

Sebaiknya, pilih jenis rakan kongsi yang ada pengalaman dalam niche dan industri yang bakal anda ceburi.

Dengan pengalaman yang ada pada bakal rakan kongsi, anda akan dapat manfaat jangka panjang dalam merangka strategi perniagaan jangka panjang. 

Tidak semestinya rakan kongsi yang anda perlukan adalah seorang usahawan. Boleh sahaja anda cari seorang pekerja yang berjiwa usahawan sebagai rakan kongsi. 

3. Bijak Membaca Trend & Pasaran

Orang yang bijak membaca trend dan pasaran lazimnya sukar dicari. Orang jenis ini ada kefahaman yang baik terhadap psikologi manusia, perubahan musim dan pasaran domestik dan global. 

Belum tentu semua jangkaan orang itu tepat sepanjang masa, tetapi kebolehan meramal masa depan dengan baik dan teliti adalah bonus pada seorang individu yang ingin dijadikan rakan kongsi dalam perniagaan. 

4. Mampu Selesaikan Masalah Bisnes

Dalam perniagaan, anda kaan hadapi 1001 macam masalah yang akan memberi impak pada perkembangan bisnes untuk jangka panjang. Maka, carilah rakan kongsi yang mampu bersama-sama menyelesaikan masalah. 

Elakkan ambil jenis rakan kongsi yang sukar berbincang, pemarah dan bertindak semberono.

Dalam bisnes, majoriti masalah boleh diselesaikan jika anda fokus kerana hampir kesemua masalah bisnes yang bakal anda lalui, telah dilalui usahawan lain sebelum anda. 

5. Bijak Mengira Risiko & Ambil Risiko

Lumrah seorang usahawan, mereka sukakan risiko dan timbal baliknya adalah keuntungan.

Maka carilah jenis rakan kongsi yang bijak mengira risiko dalam perniagaan sebelum membuat sebarang keputusan bisnes. 

Anda akan terkejut bila mendapati, dalam kebanyakan masa risiko perlu diambil untuk mengelakkan bisnes anda gulung tikar. 

6. Ada Jaringan Networking Yang Bagus

Cari jenis rakan kongsi yang ada jaringan networking yang bagus kerana modal sosial adalah salah satu elemen penting yang menentukan kejayaan bisnes anda. 

Mengenali orang yang tepat pada waktu yang tepat adalah rezeki dan banyak waktu, networking mampu menyelematkan bisnes untuk jangka panjang. 

7. Tiada Masalah Kewangan Yang Serius

Orang yang ada masalah kewangan yang serius lazimnya tidak stabil dari segi emosi dan cara fikir untuk membuat keputusan kritikal. 

Elak daripada ambil jenis rakan kongsi yang ada masalah kewangan yang serius. Modal bisnes dan wang syarikat juga berisiko jika berada di tangan yang salah. 

Kesimpulannya, ada banyak faedah membuka perniagaan perkongsian. Akan tetapi, penting untuk anda kenal pasti ciri-ciri jenis rakan kongsi yang baik untuk bisnes. Apa yang pasti, rakan kongsi yang betul akan bantu majukan perniagaan perkongsian anda untuk jangka masa panjang. 

Mehmed Aezhad

Menulis konten digital sebenar yang diperlukan solopreneur dan usahawan untuk menjadi wirausahawan.

Post navigation

Leave a Comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *